Sunday, November 22, 2009

Tag.RFID.untuk.jemaah.haji.Malaysia

wah, berita berkenaan kerja kerja yg Syarikat aKU buat di Mekah ni masuk suratkhabar laa.. best best

dipetik dari laman web Berita Harian
(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Mutakhir/20091120143822/Article/)
MUTAKHIR

Tag RFID untuk jemaah haji Malaysia

PETALING JAYA: Malaysia memperkenalkan penggunaan tag yang boleh mengesan lokasi individu semasa menunaikan haji atau umrah di Tanah Suci, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Pihak berkuasa Masjidil Haram kini mula memantau keberkesanan sistem itu yang menggunakan aplikasi teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) untuk memastikan sama ada ia sesuai diguna oleh jemaah haji sepanjang melakukan ibadat di Tanah Suci.

"Syarikat Senstek dengan kerjasama syarikat TH Travel & Services tahun ini mengeluarkan 10,000 tag berteknologi RFID kepada 5,000 jemaah haji," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat tentang projek itu yang dinamakan "E-Hajj Pilgrimage Tracking Sistem" di Kelana Jaya di sini hari ini.

Pengerusi Senstek Sendirian Berhad (Senstek), Tan Sri Dr Ahmad Zaharudin Idrus, berkata jika aplikasi pengurusan data seumpama itu berjaya meyakinkan kerajaan Arab Saudi dan jemaah dari negara lain, projek itu dapat diperluas dalam tempoh satu hingga dua tahun.

"Tag itu juga sesuai digunakan jemaah dari seluruh dunia. Keseluruhannya jika berjaya dan dapat mengatasi masalah yang timbul, dalam setahun dua lagi kita boleh luaskan penggunaan aplikasi ini," katanya.

Beliau berkata, kini perbincangan dengan negara lain turut diadakan dan ada negara jiran yang menunjukkan minat terhadap sistem pengurusan data seperti itu.

Mashitah berkata, teknologi RFID bermula apabila jemaah mendaftar di Kompleks Tabung Haji, semua data tentang pengenalan, bagasi dan lokasi akan direkodkan dan perkara yang sama dilakukan sebaik tiba di hotel di Makkah.

"Jemaah turut merekodkan data mereka ketika dalam kenderaan mahupun bas sepanjang perjalanan mengerjakan haji dan kesemua maklumaat itu disimpan seterusnya dihantar secara langsung ke pangkalan data di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pengumpulan data secara teratur melalui aplikasi itu boleh mengurangkan risiko jemaah tertukar atau kehilangan bagasi di samping proses pengumpulan data itu sendiri dapat dilakukan lebih cepat, teratur dan tepat.

Pada tahun 2007, Senstek pernah mencuba aplikasi itu yang menggunakan MM-chip iaitu cip multi-band antena terkecil hasil pemerolehan teknologi negara ke atas 400 jemaah dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Senstek adalah anak syarikat Kumpulan-Industri Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia I (MIGHT) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). - Bernama