Sunday, November 22, 2009

Jemaah.pakai.tag.pengesan

dipetik dari laman web Berita Harian
(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20091121001253/Article/)
Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my

Kad Pengenalan Frekuensi Radio pantau pergerakan individu

KUALA LUMPUR: Kad Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang diperkenalkan melalui projek perintis 'e-Hajj Pilgrimage Tracking System' memudahkan urusan memproses pengenalan identiti jemaah dari Malaysia dan mengesan bagasi serta lokasi jemaah berada sepanjang di Tanah Suci Makkah.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim, berkata projek berkenaan yang dibangunkan oleh anak syarikat Kumpulan Industri Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (Might), Senstech Sdn Bhd dengan kerjasama TH Travel & Services (THSS), hasil usaha sama Lembaga Tabung Haji dan Might sejak 2007.

"Projek ini membabitkan seramai 5,000 jemaah haji di bawah THSS menggunakan 10,000 keping tag khas yang mengandungi cip bersaiz 0.7 milimeter untuk mengesan pergerakan jemaah dan bagasi mereka.

"Sistem ini adalah satu usaha Lembaga Tabung Haji dalam menambah baik mutu perkhidmatan dan memastikan keselesaan jemaah ketika berada di Tanah Suci," katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Jemaah Haji bagi Projek 'e-Hajj Pilgrimage Tracking System', di sini, semalam.

Mashitah berkata, kos sebenar pembangunan sistem itu masih belum dapat dipastikan kerana ia masih pada peringkat ujian.

Turut hadir, Pengerusi Sensetech Sdn Bhd, Tan Sri Dr Ahmad Zaharudin Idrus dan Naib Presidennya, Jamaluddin Abu Hassan.

Dr Ahmad berkata, pihaknya belum dapat memberikan anggaran kos pembangunan sistem RFID itu.

Beliau berkata, sebuah negara jiran sudah menunjukkan minat dengan sistem RFID itu dan pihak berkuasa Arab Saudi juga sedang memantau perkembangan sistem berkenaan.

Bagaimanapun pihaknya yakin caj tambahan yang bakal dikenakan tidak akan membebankan jemaah jika sistem berkenaan digunakan sepenuhnya kerana ia tidak begitu mahal.